Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 31 Ogos 2026 – Sabah Fest 2026 menampilkan 50 acara di seluruh Sabah bermula pada 29 Ogos hingga 29 September ini menerusi persembahan, bengkel, pameran dan aktiviti pelancongan untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya dan kreativiti komuniti tempatan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, penganjuran tahun ini diperluaskan dengan kerjasama pelbagai pihak di beberapa lokasi termasuk Kudat, Sandakan, Tawau dan Kuala Lumpur.
“Pelancongan kini berubah apabila pengunjung bukan sahaja mencari tempat untuk dilawati, tetapi pengalaman untuk dirasai, cerita untuk difahami dan hubungan untuk dikenang,” katanya ketika berucap pada pelancaran Sabah Fest 2026 di Kota Kinabalu, pada Sabtu lalu.
Menurut Jafry, interaksi dengan masyarakat tempatan menerusi makanan, muzik, kraf tradisional dan persembahan kebudayaan dapat memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai Sabah.
Beliau berkata, penglibatan golongan muda penting untuk memastikan warisan budaya terus relevan, termasuk melalui bidang muzik, seni, fesyen, kandungan digital, makanan dan pengalaman pelancongan.
Katanya, penganjuran berkenaan turut membuka ruang kepada usahawan tempatan, artisan, penggiat seni dan kreatif, bakat muda untuk terlibat dalam sektor pelancongan dan industri kreatif.
Jafry berkata, peluang berkenaan perlu diperluaskan kepada komuniti di seluruh Sabah dan tidak hanya tertumpu kepada pusat pelancongan utama.
Beliau berkata, Sabah Fest 2026 turut bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia yang menjadi ruang untuk meraikan kepelbagaian identiti, sejarah dan komuniti yang membentuk Malaysia.
Sabah Fest diperkenalkan sejak 1988 dan terus berkembang sebagai platform mempromosikan kekayaan budaya untuk pengalaman pelancongan negeri.
Sabah Fest 2026 membawa tema “50 Events, One Golden Journey”.
Jafry berkata, kejayaan penganjuran tahun ini turut bergantung kepada kerjasama Sabah Tourism Board, Sri Pelancongan Sabah, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pemain industri pelancongan, organisasi kebudayaan, komuniti, penganjur acara, penaja dan sukarelawan.

