KOTA KINABALU: 23 Julai 2026 – Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Anak Negeri 2026 disifatkan sebagai pemangkin kepada reformasi sistem kehakiman adat di Sabah menerusi penubuhan struktur mahkamah yang lebih moden dan pengukuhan institusi Mahkamah Anak Negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Roger Chin, berkata pembaharuan itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memperkukuh sistem Undang-Undang Adat Anak Negeri sebagai institusi yang terus relevan dalam landskap perundangan Sabah.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Mahkamah Anak Negeri 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Menurut beliau, RUU itu bukan sekadar menggantikan Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992, malah memperkenalkan hierarki kehakiman baharu yang merangkumi Mahkamah Daerah Anak Negeri, Mahkamah Tinggi Anak Negeri dan Mahkamah Rayuan Anak Negeri.
RUU itu juga memperkukuh proses pelantikan kehakiman, mewujudkan jawatan Ketua Hakim, Hakim Besar, Peguam Mahkamah Anak Negeri dan Pendaftar, di samping memperluaskan bidang kuasa dan memodenkan tatacara prosiding Mahkamah Anak Negeri.
“Rang Undang-Undang ini jauh lebih besar daripada sekadar menggantikan Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992. Ia merupakan suatu usaha yang serius untuk memperkukuhkan asas institusi yang akan mentadbir Undang-Undang Adat Anak Negeri untuk generasi-generasi yang akan datang,” katanya.
Roger berkata Mahkamah Anak Negeri mempunyai kedudukan yang unik dalam sistem perundangan Sabah kerana mentadbir Undang-Undang Adat Anak Negeri yang masih diamalkan dan menjadi rujukan masyarakat dalam pelbagai urusan berkaitan adat.
Katanya, kekuatan sistem perundangan Sabah terletak pada keupayaannya mengiktiraf kewujudan pelbagai tradisi perundangan, termasuk undang-undang sivil, undang-undang syariah dan Undang-Undang Adat Anak Negeri yang masing-masing mempunyai fungsi tersendiri.
“Sumbangan terbesar Rang Undang-Undang ini ialah ia menegaskan bahawa Undang-Undang Adat Anak Negeri merupakan suatu sistem undang-undang yang hidup, yang berhak memiliki institusi moden, hakim-hakim yang profesional, perkembangan jurisprudens yang berprinsip dan pembangunan undang-undang yang berterusan,” katanya.
Beliau berharap pembaharuan yang diperkenalkan menerusi RUU itu menjadi asas kepada usaha berterusan memperkukuh Mahkamah Anak Negeri sebagai institusi kehakiman yang moden, berwibawa dan mampu memenuhi keperluan masyarakat Sabah pada masa hadapan.

