KOTA KINABALU: 23 Julai 2026 – Institusi Hal Ehwal Anak Negeri di Sabah perlu diperkukuh menerusi penstrukturan semula pentadbiran, termasuk mengkaji semula gelaran Ketua Daerah, mewujudkan Council of Elders, melantik Pembantu Menteri khas dan menyediakan peruntukan untuk pembangunan masyarakat adat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, berkata usaha itu penting untuk memastikan institusi pentadbiran masyarakat adat terus relevan dan mampu memenuhi keperluan semasa.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Menurut beliau, antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah menukar gelaran Ketua Daerah kepada Ketua Adat Daerah untuk mengelakkan kekeliruan dengan jawatan Pegawai Daerah kerana peranan jawatan itu lebih tertumpu kepada pentadbiran adat.
“Dia masih lagi dipanggil Ketua Daerah sebab ini mengelirukan. Pegawai Daerah pun ada. Mungkin boleh dipanggil Ketua Adat Daerah sebab ini berkaitan dengan adat,” katanya.
Jeffrey turut mencadangkan supaya kerajaan menilai semula penggunaan gelaran Orang Kaya-Kaya (OKK) sama ada masih relevan dengan fungsi pentadbiran masyarakat adat pada masa ini.
Beliau juga mencadangkan penubuhan Council of Elders di bawah Majlis Hal Ehwal Anak Negeri sebagai badan yang menghimpunkan tokoh-tokoh berpengalaman dalam adat dan tradisi untuk memberi pandangan mengenai hal ehwal masyarakat adat.
Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan melantik seorang Pembantu Menteri yang memberi tumpuan khusus kepada Hal Ehwal Anak Negeri, di samping menyediakan peruntukan untuk pembangunan masyarakat adat termasuk latihan, pemeliharaan adat dan budaya, sekolah adat dan pengukuhan persatuan etnik.
“Bukan sahaja menjaga pentadbiran, tetapi perlu ada bajet untuk pembangunan masyarakat adat, termasuk latihan, pembangunan adat, budaya dan sekolah adat supaya warisan ini terus dipelihara,” katanya.
Beliau berkata pengukuhan institusi Hal Ehwal Anak Negeri bukan sekadar memperkasakan pentadbiran adat, malah penting untuk memastikan generasi muda terus mengenali, menghargai dan mewarisi adat, budaya dan tradisi masyarakat pelbagai etnik di Sabah.

