KOTA KINABALU: 21 Julai 2026 – Pembinaan semula Jambatan Sungai Molout di Kampung Bayag, Ranau memerlukan RM19 juta, jauh lebih tinggi berbanding peruntukan awal sebanyak RM4.94 juta yang diluluskan sebelum ini.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jambri, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mendapati peruntukan sedia ada tidak mencukupi untuk membina semula jambatan berkenaan yang menghubungkan Kampung Bayag, Togoyog, Kitaie dan kawasan sekitarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Haji Rusdin @ Musidi Riman (Paginatan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Menurut beliau, jambatan itu mengalami kerosakan serius pada struktur penghadang akibat hakisan selepas hujan lebat pada 7 September 2025.
“Jabatan Kerja Raya Sabah mendapati kelulusan kos tersebut tidak menampung keperluan pembinaan semula jambatan sepanjang 60 meter dengan laluan dua hala dan struktur perlindungan tebing sungai yang sepatutnya berjumlah RM19 juta.”
Samad berkata, JKR Sabah kini sedang menyediakan justifikasi untuk mendapatkan kelulusan kos siling baharu dari Kementerian Kewangan Sabah sebelum projek pembinaan semula dapat dilaksanakan.
Beliau berkata, jambatan baharu itu akan dibina sepanjang 60 meter dengan laluan dua hala dan dilengkapi struktur perlindungan tebing sungai demi memastikan keselamatan pengguna dan mengurangkan risiko kerosakan akibat hakisan pada masa depan.

