gambar ilustrasi
Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
Setiap hari ribuan pengguna jalan raya keluar dari rumah dengan harapan untuk tiba ke destinasi dengan selamat. Namun, hanya satu tindakan cuai sudah cukup untuk mengubah perjalanan biasa menjadi satu tragedi.
Dari memandu sambil menggunakan telefon bimbit hinggalah melanggar lampu isyarat merah, pelbagai kesalahan trafik masih berulang walaupun risiko dan akibatnya diketahui umum.
Bagi pihak polis, setiap pelanggaran undang-undang bukan sekadar kesalahan yang boleh dikenakan saman, malah berpotensi meragut nyawa.
Kesalahan yang masih berulang
Antara kesalahan yang kerap dikesan di jalan raya ialah lumba haram, melawan arus, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memandu tanpa lesen yang sah dan tidak memakai topi keledar atau tali pinggang keledar.
Turut menjadi perhatian ialah pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah, pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan, penggunaan kenderaan tanpa cukai jalan atau perlindungan insurans yang sah, selain kegagalan mematuhi arahan pegawai polis ketika menjalankan tugas.
Walaupun ada yang menganggapnya sebagai kesalahan kecil, setiap satu daripadanya mampu mencetuskan kemalangan yang membawa kepada kecederaan serius atau kehilangan nyawa.
Satu keputusan, banyak nyawa dipertaruhkan
Keselamatan jalan raya tidak hanya bergantung kepada keadaan jalan atau kenderaan, tetapi bermula daripada sikap setiap individu di belakang stereng atau hendal motosikal.
Keputusan untuk memecut melebihi had laju, membalas mesej ketika memandu atau mengabaikan peraturan lalu lintas bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut meletakkan pengguna jalan raya lain dalam risiko.
Dalam banyak keadaan, mangsa kemalangan bukanlah individu yang melakukan kesalahan, sebaliknya orang awam yang berada di tempat dan waktu yang tidak sepatutnya.
Keselamatan bermula dengan disiplin
Semua pengguna jalan raya perlu mematuhi undang-undang lalu lintas, mengamalkan sikap berhemah ketika memandu dan mengutamakan keselamatan dalam setiap perjalanan.
Pematuhan terhadap peraturan bukan sekadar mengelakkan tindakan undang-undang, malah menjadi benteng utama dalam mengurangkan kemalangan dan melindungi nyawa.

