Gambar ilustrasi sahaja
Oleh: Nurul Fazliana Norman
TAWAU: 5 Julai 2026 – Polis menahan 10 pelajar lelaki tempatan berusia antara 14 dan 17 tahun untuk membantu siasatan kes rusuhan yang mengakibatkan empat pelajar cedera di Merotai Besar kelmarin.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt, kesemua suspek ditahan kira-kira jam 2 petang dalam operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau dan anggota Balai Polis Bombalai.
Siasatan awal mendapati seorang mangsa berusia 14 tahun bersama tiga rakannya sedang melalui jalan pintas menuju ke Masjid Merotai Besar untuk menunaikan solat Jumaat apabila mereka didatangi sekumpulan pelajar yang bertanyakan keberadaan dua individu lain.
“Selepas mangsa memaklumkan tidak mengetahui lokasi yang dicari, kumpulan pelajar itu dipercayai bertindak menyerang dan memukul mangsa secara beramai-ramai,” kata Wilynton dalam kenyataan media.
Mangsa mengalami kecederaan di muka, kepala, dada dan rusuk, manakala tiga rakannya turut cedera. Kesemua mangsa kemudian tampil membuat laporan polis.
Polis mengesahkan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.
Wilynton menegaskan polis memandang serius sebarang keganasan membabitkan pelajar dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar undang-undang.
Beliau menasihati ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergaulan serta tingkah laku anak-anak, manakala pihak sekolah dan masyarakat diminta terus bekerjasama dengan polis demi membendung gejala keganasan dalam kalangan pelajar.
Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Chong Fung Mee, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
— Sumber: Polis Daerah Tawau

