KOTA KINABALU: 11 Jun 2026 – Sabah yang kaya dengan pelbagai sumber semula jadi termasuk tanah, sungai, hutan, laut, minyak dan gas, sawit, perikanan dan pelancongan, namun masih melihat ramai anak negeri terus terpinggir dan hidup dalam kemiskinan, dakwa sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
Presiden Pertubuhan MOPOT – Defenders of Ancestral Lands Sabah, Atama Katama dalam satu kenyataan media hari ini berkata, MOPOT menyifatkan keadaan itu berpunca dari kegagalan tadbir urus negara dan peranan “elit comprador” yang lebih mengutamakan kepentingan modal dan kontrak berbanding mempertahankan hak rakyat asal.
Jawapan mengapa Sabah yang menghasilkan begitu banyak kekayaan masih menyaksikan rakyatnya hidup dalam kemiskinan tidak boleh dicari hanya dalam slogan pembangunan, tetapi terletak pada struktur pemilikan yang berat sebelah.
MOPOT mendakwa, “elit comprador iaitu golongan perantara tempatan yang lebih setia kepada kepentingan modal, kontrak, konsesi, jawatan, lesen dan hubungan kuasa daripada mempertahankan hak rakyat asal. Mereka bercakap tentang pembangunan, tetapi pembangunan itu sering tidak memindahkan pemilikan kepada Anak Negeri,” kata kenyataan itu.
Pertubuhan tersebut turut merujuk Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang di Sabah sebagai bukti bahawa krisis yang dihadapi negeri ini bukan rekaan semata-mata.
RCI Sabah yang meneliti isu pendatang tanpa izin, pemberian kad pengenalan biru, pendaftaran dalam daftar pemilih, serta kelemahan institusi, dianggap sebagai dokumen besar tentang kegagalan tadbir urus yang memberi kesan kepada perubahan demografi, keselamatan tanah air, dan perlindungan hak Anak Negeri.
“Apabila tadbir urus gagal, kesannya bukan hanya di pejabat kerajaan. Ia masuk ke kampung, ke tanah adat, ke sungai, ke sekolah, ke klinik, ke pilihan raya, ke pasaran kerja, dan ke masa depan anak-anak kita,” tegas kenyataan itu.
Mengulas lanjut, MOPOT menjelaskan bahawa di kawasan pedalaman, tekanan ke atas tanah adat, peluasan ladang, dan kelemahan dokumentasi tanah menyebabkan masyarakat terpisah dari sungai, hutan dan kawasan warisan.
Di Pantai Timur pula, isu sempadan, pelarian, IMM13, orang tanpa negara, dan penempatan setinggan mewujudkan persoalan ekonomi-politik berkaitan siapa yang mengawal tanah, laut, serta menentukan identiti dan kuasa politik.
Sementara di Pantai Barat termasuk Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Papar, urbanisasi berlaku tanpa keadilan pemilikan.
“Jika nilai tanah naik tetapi keluarga Native semakin terhimpit, jika hotel dan pusat komersial tumbuh tetapi pemilikan komuniti asal tidak meningkat, maka pembangunan itu belum adil,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, MOPOT menyeru semua persatuan Anak Negeri, pemimpin adat, belia, wanita, intelektual, gereja, masjid, kuil, rumah adat, NGO, gerakan kampung dan masyarakat sivil supaya membaca RCI Sabah sebagai “sekolah politik rakyat”.
Pertubuhan tersebut mencadangkan lima langkah segera iaitu mewujudkan Sekolah Bukti RCI di setiap daerah, menjalankan Audit Pemilikan Anak Negeri, menubuhkan Briged Pemetaan Tanah Adat, membina koperasi Anak Negeri dalam pelbagai sektor, dan menuntut Klausa Penyertaan Ekonomi Anak Negeri dalam setiap projek besar.
“Sabah tidak memerlukan lagi elit comprador yang hanya menjadi broker kepada kekayaan negeri. Sabah memerlukan kepimpinan yang mengembalikan pemilikan kepada rakyat asal,” tegas MOPOT.
“Sabah tidak miskin kerana tidak ada sumber. Sabah dimiskinkan kerana Anak Negeri tidak menguasai sistem pemilikan ke atas tanah air sendiri,” tambah kenyataan itu.
Mesej MOPOT jelas: pertahankan tanah, baca bukti, bongkar percanggahan, lawan kegagalan tadbir urus, bina pemilikan Anak Negeri, dan kembalikan kekayaan Sabah kepada kuasa rakyat Sabah.
