Warisan kekal utuh meskipun beberapa pemimpin keluar parti – Shafie

IMG 7454

KOTA KINABALU: 10 Jun 2026 – Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa parti itu kekal utuh meskipun beberapa pemimpinnya baru-baru ini mengambil keputusan untuk meninggalkan parti.

Menurut beliau, tindakan tersebut tidak menjejaskan perjuangan Warisan kerana kekuatan parti terletak pada akar umbi dan rakyat Sabah yang terus menyokong perjuangannya.

Shafie berkata, Warisan pernah berdepan dengan cabaran yang lebih besar selepas Pilihan Raya Negeri Sabah 2020, setelah beberapa wakil rakyat yang menang atas tiket parti turut meninggalkan Warisan.

“Warisan pernah melalui situasi seperti ini sebelum ini. Namun Warisan terus berdiri teguh,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, individu yang meninggalkan parti kali ini bukan dalam kalangan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat, sebaliknya hanya melibatkan beberapa bekas ketua bahagian dan bekas pemegang jawatan parti.

“Itu adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi dan saya mendoakan yang terbaik buat mereka,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau menolak dakwaan bahawa Warisan semakin lemah susulan tindakan berkenaan.

Menurutnya, parti itu akan terus memberi tumpuan kepada usaha mempertahankan hak Sabah, memperkukuh ekonomi negeri, mewujudkan lebih banyak peluang untuk generasi muda, dan membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat.

“Apa yang berlaku hanyalah satu bab kecil dalam perjalanan perjuangan yang jauh lebih panjang. Warisan tetap utuh dan akan terus mara ke hadapan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal