TELUPID: 8 April 2026 – Kejohanan Catur Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Telupid-Tongod 2026 dari 6 hingga 7 April melabuhkan tirainya selepas dua hari berlangsung dalam suasana penuh kompetitif, menghimpunkan seramai 252 peserta dari seluruh daerah.
Kejohanan yang mempertandingkan enam pusingan itu terus mengukuhkan kedudukan Telupid-Tongod sebagai antara pusat pembangunan catur yang konsisten di Sabah. Tradisi kecemerlangan daerah ini terbukti melalui penyertaan berterusan ke peringkat kebangsaan sejak lebih dua dekad lalu, sekali gus mencerminkan sistem pembangunan bakat yang mantap dan berterusan.
Edisi kali ini turut menjadi platform pemilihan 36 pemain terbaik untuk mewakili daerah ke Kejohanan Peringkat Negeri yang dijadual berlangsung di Kota Marudu dari 4 hingga 8 Mei depan.

Dalam kategori sekolah menengah, SMK Tongod mengekalkan penguasaan apabila muncul juara keseluruhan dua tahun berturut-turut, sekali gus mempertahankan piala pusingan. Sementara itu, kategori sekolah rendah menyaksikan kebangkitan SK Kiabau yang berjaya merampas gelaran juara berpasukan, justeru menamatkan dominasi SK Gabungan dan membawa pulang trofi berprestij tersebut.

Saingan individu turut memperlihatkan kualiti permainan yang tinggi merentasi semua kategori umur. Antara yang menonjol ialah Rezcaichil Sait dari SMK Penangah (bawah 18 lelaki), Jiennet Jibin dari SMK Tongod (bawah 18 perempuan) dan Chelson Calistin dari SMK Telupid yang mengungguli kategori bawah 15 lelaki. Dalam kategori bawah 12 tahun, Rayyan Roqqean Wilson (SK Entilibon) dan Alesya Hafizanie Mohd Hafiz (SK Kiandongo) masing-masing muncul juara lelaki dan perempuan.

Kategori bawah sembilan tahun terus diberi penekanan sebagai medan asas pembentukan bakat muda, dengan Adriella Davina Jenoel (SK Entilibon) dan Jevon Jevlye Jurli (SK Saguon) masing-masing menjuarai kategori perempuan dan lelaki.

Dengan senarai wakil telah dimuktamadkan, tumpuan kini terarah ke Kota Marudu, apabila kontinjen Telupid-Tongod bersedia menggalas cabaran dan meneruskan legasi kecemerlangan di peringkat negeri.
