Kerajaan setuju Laksana Dasar Kerja Dari Rumah

photo 2026 04 02 07 53 22

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan dasar kerja dari rumah (WFH) bagi kementerian, agensi, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April ini sebagai langkah strategik untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan kelestarian bekalan tenaga negara.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata keputusan tersebut dibuat susulan ketidaktentuan global berpunca dari konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada rantaian bekalan tenaga dunia, sekali gus menjejaskan banyak negara termasuk Malaysia.

Menurut beliau, pelaksanaan WFH merupakan antara langkah segera kerajaan bagi memastikan pengurusan sumber tenaga negara kekal mampan dalam tempoh mencabar ini.

“Tujuannya adalah untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan menjamin bekalan tenaga negara kekal stabil. Perincian lanjut mengenai pelaksanaan akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan kini berdepan tekanan besar dalam menampan kesan kenaikan harga minyak global, dengan perbelanjaan mencecah kira-kira RM4 bilion sebulan bagi mengekalkan kestabilan harga dan mengurangkan beban rakyat.

Pada masa sama, kerajaan juga telah memperkenalkan beberapa langkah tambahan termasuk penyelarasan kuota subsidi bahan api dan kawalan penggunaan tenaga dalam sektor awam.

Beliau turut menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat palsu berkaitan harga minyak dan dasar kerajaan, sebaliknya memastikan setiap maklumat yang diterima disemak dengan teliti.

“Dalam keadaan rakyat berdepan tekanan, penyebaran berita palsu hanya akan memburukkan keadaan dan menjejaskan kestabilan negara,” tegasnya.

Kerajaan akan terus memperkukuh langkah bagi menjamin bekalan tenaga mencukupi, termasuk mempelbagaikan sumber import minyak dan gas serta memastikan keperluan rakyat terus terbela sepanjang tempoh krisis ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal