TAMPARULI: 19 Mac 2026 — Kerja-kerja pembaikan Jambatan Tamparuli, khususnya di laluan lintasan rendah (low level crossing) yang menjadi nadi utama perhubungan penduduk setempat, dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos 2026.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau memaklumkan bahawa jangkaan itu berdasarkan taklimat terkini daripada syarikat konsesi, Globinaco Sdn. Bhd., mengenai status semasa struktur jambatan berkenaan.
Menurut beliau, Hasil pemeriksaan teknikal mendapati berlaku mendapan susulan kira-kira 10 milimeter pada bahagian papak konkrit jambatan, sekali gus memerlukan kerja pemulihan dilaksanakan secara teliti dan berperingkat.

“Susulan penemuan itu, kerja-kerja pemulihan perlu dilaksanakan dengan teliti. Ia melibatkan proses pengukuhan struktur (jacketing) yang memakan masa selama dua bulan, manakala kerja-kerja penanaman cerucuk (piling) bagi tiang jambatan (pier) 3 dan 4 juga dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, perancangan pembinaan jambatan baharu kini berada di peringkat reka bentuk, dengan usaha dipergiat bagi mempercepatkan proses tersebut.
Tambahnya, Keutamaan diberikan kepada aspek keselamatan, ketahanan dan kualiti struktur demi manfaat jangka panjang pengguna.
Bagi memastikan ketelusan maklumat kepada orang ramai, Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai pihak berkuasa teknikal akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status terkini projek berkenaan.
Sepanjang tempoh pelaksanaan, aspek keselamatan pengguna dan kelancaran perhubungan harian penduduk terus menjadi keutamaan, dengan pemantauan rapi dilakukan bagi memastikan projek berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
Taklimat itu turut melibatkan pelbagai agensi termasuk wakil JKR, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), syarikat konsesi serta Jabatan Bekalan Air.
Caption gambar: Madius bersama-sama wakil JKR, Globinaco, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, UPPM Tamparuli, PDRM dan Jabatan Bekalan Air membuat tinjauan penyelenggaraan Low Level Crossing.
Sumber: MP Tuaran Media
