Elnara Asha Model Cilik Sabah Raih Dua Kemenangan Besar Peringkat Antarabangsa

photo 2026 02 19 11 16 45

KOTA KINABALU – Model muda berbakat, Elnara Asha Mohd Fauzi, 7 tahun yang bersekolah di SK Tombovo, Putatan membuktikan bahawa umur bukan penghalang untuk mencapai kejayaan apabila berjaya meraih dua gelaran utama di pentas pertandingan peragaan antarabangsa dalam tempoh yang singkat pada tahun 2026.

photo 2026 02 19 11 16 54

Pada 13 hingga 19 Januari lalu di Thailand, Elnara telah dinobatkan sebagai Juara Pertandingan I Am Model Search International 2026. Kemenangan tersebut sekali gus membuktikan bahawa bakat, disiplin dan keyakinan mampu mengatasi faktor usia, selain mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

photo 2026 02 19 11 16 48

Susulan kejayaan itu, beliau sekali lagi mencipta kecemerlangan pada Februari apabila dinobatkan sebagai Grand Winner Keseluruhan bagi kategori Kids, Pre-Teens, Teens & Adults (usia 7 hingga 21 tahun ke atas), dalam pertandingan The Catwalk Master Asia 2026 yang dianjurkan oleh Shafiq Kay Slaywalker Empire dengan sokongan Double Event Management, sebuah organisasi yang aktif melatih model serta ratu cantik di peringkat Asia yang berlangsung di PICC, Putrajaya. Gelaran berprestij tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi pertandingan yang menilai peserta merentasi semua kategori umur berdasarkan teknik catwalk, keyakinan diri, persembahan pentas serta karisma keseluruhan. Elnara juga turut membawa pulang anugerah lain iaitu Best in Introduction, Best in Evening Wear dan Best Pageant Walk.

Menurut Elnara, kedua-dua pertandingan mempunyai konsep yang berbeza dan mencabar. Pertandingan di Thailand memberi penekanan kepada persaingan antarabangsa dengan standard profesional global, manakala pertandingan di Putrajaya pula menguji konsistensi peserta merentasi kategori umur yang lebih luas.

“Saya percaya umur bukan penghalang untuk berjaya jika kita mempunyai impian, usaha dan keyakinan diri. Kemenangan ini menjadi motivasi untuk saya terus berusaha mencapai tahap lebih tinggi dalam industri peragaan,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada Elnara, Fauzi Hanif turut meluahkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian anaknya yang disifatkan sebagai satu kejayaan yang melangkaui sasaran awal keluarga.

“Kami pada mulanya hanya meletakkan sasaran untuk Elnara berada dalam kelompok tiga terbaik. Namun apabila dia berjaya muncul sebagai juara, ia benar-benar menggembirakan dan membanggakan kami sekeluarga. Kami melihat sendiri usaha keras, disiplin dan pengorbanan yang dilakukannya sepanjang persiapan,” katanya.

photo 2026 02 19 11 16 51

Beliau turut menegaskan bahawa sokongan keluarga akan sentiasa menjadi kekuatan utama buat Elnara dalam meneruskan perjalanan kariernya pada masa hadapan.

Pencapaian berganda ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada Elnara untuk mengembangkan minatnya di peringkat tempatan dan antarabangsa, selain menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa kejayaan boleh dicapai tanpa mengira usia. Elnara Asha dijangka akan menyertai dan mewakili Malaysia dalam pertandingan World Junior Tourism Ambassador yang dijadualkan berlangsung di Vietnam pada Julai 2026.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal