SPR Sahkan PRK untuk Kinabatangan dan Lamag

photo 2025 12 10 16 41 29

KOTA KINABALU: 9 Disember 2025 — Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengesahkan kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri N.58 Lamag, Sabah, susulan pemergian penyandangnya, Allahyarham YB Datuk Seri Panglima Bung Moktar bin Radin.

photo 2025 12 10 16 41 32

SPR secara rasmi berkata kekosongan kedua-dua kerusi tersebut telah diterima melalui notis YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 8 Disember 2025, serta melalui pemberitahuan YB Datuk Seri Panglima Haji Kadzim bin Haji M. Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah pada 9 Disember 2025.

Selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21(5) Perlembagaan Negeri Sabah, mana-mana kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia disahkan.

Menurut SPR, satu Mesyuarat Khas akan diadakan pada 16 Disember 2025 (Selasa), dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Sri Ramlan bin Dato’ Harun, Pengerusi SPR, untuk membincangkan semua tarikh penting berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen P.187 Kinabatangan dan DUN N.58 Lamag, termasuk tarikh Writ Pilihan Raya, penamaan calon, hari pengundian serta daftar pemilih yang akan digunakan.

Satu sidang media akan diadakan selepas Mesyuarat Khas berkenaan selesai.

Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal