KOTA KINABALU: 3 Disember 2025 — Music Rights Sabah Berhad (MRS) menyatakan sokongan dan komitmen kerjasama penuh dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam usaha memperkukuh sektor ekonomi kreatif, khususnya pembangunan industri muzik etnik tempatan.
MRS turut merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri baharu pimpinan Ketua Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Nor dan seluruh ahli kabinet menteri yang telah dilantik.
Sebagai sebuah Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) yang menguruskan hak cipta lagu etnik Sabah, MRS menyambut baik langkah kerajaan menubuhkan sebuah agensi khusus bagi memajukan ekonomi kreatif di bawah Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif.
Menurut Mohd Ashraf Abdullah, inisiatif tersebut diyakini mampu memperkukuhkan keseluruhan ekosistem muzik etnik Sabah dan membuka lebih banyak peluang kepada para penggiat seni.
Katanya usaha itu memberi manfaat secara langsung kepada pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi dan pemuzik serta syarikat penerbit tempatan yang terlibat dalam penghasilan karya etnik.
MRS turut menegaskan kesediaan organisasi itu untuk terus memainkan peranan sebagai CMO yang bertanggungjawab dalam kutipan dan pengagihan royalti muzik etnik Sabah, selaras aspirasi kerajaan negeri untuk memajukan sektor ekonomi kreatif secara menyeluruh.
