SANDAKAN: Sembilan individu ditahan dalam satu operasi membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sebuah pusat hiburan di Bandar Indah, Batu 4 Sandakan, Khamis lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman, operasi yang dijalankan sekitar jam 2.30 pagi itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Sandakan dengan bantuan anggota Balai Polis Sandakan.

Tangkapan melibatkan lima lelaki, tiga wanita warganegara tempatan dan seorang wanita warga asing yang disyaki memasukkan dadah ke dalam tubuh badan.
Ujian saringan awal air kencing mendapati semua individu terbabit positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine (syabu) dan Ketamin.
Kesemua suspek kemudian ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman di Lokap IPD Sandakan bagi tujuan siasatan lanjut.
Sumber: Polis Daerah Sandakan
