KOTA KINABALU: 20 November 2025 — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah melaksanakan satu lagi siri Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kategori usir melalui laut bagi tahun 2025, melibatkan 699 warga Filipina yang dihantar pulang dari tiga Depot Imigresen iaitu Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan.
Menurut JIM Sabah, kumpulan tahanan yang dipindahkan terdiri daripada 430 lelaki, 128 perempuan, 119 kanak-kanak berusia 2 hingga 12 tahun serta 22 kanak-kanak berumur bawah 23 bulan. Purata umur tahanan berada dalam lingkungan 4 hari sehingga 77 tahun.

Semua kanak-kanak dihantar pulang bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing menggunakan kapal MV Antonia 1 melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.
Dengan pelaksanaan pemindahan terbaharu ini, jumlah keseluruhan tahanan Filipina yang telah dihantar pulang sepanjang tahun meningkat kepada 7,635 orang.
Secara keseluruhan, seramai 9,804 warga asing telah dipindahkan balik ke negara asal tahun ini, termasuk warganegara Indonesia (1,757), Pakistan (252), China (84), Vietnam (39), India (10), Thailand (6) serta 24 warga asing lain melalui pengangkutan laut dan udara.

JIM turut menjelaskan bahawa semua PATI yang terlibat telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki Travel Document (TD) yang melayakkan mereka dihantar pulang.
Proses pemindahan turut bergantung kepada tindakan segera pihak kedutaan bagi mengeluarkan dokumen perjalanan yang diperlukan.
Individu atau majikan yang bersubahat boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, hukuman penjara serta sebatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Sumber: Jabatan Imigresen Negeri Sabah
