KOTA KINABALU: 26 September 2025 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 66 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar daerah Kota Kinabalu sejak 21 hingga 26 September lalu.
Operasi yang melibatkan 28 pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM Kota Kinabalu itu dijalankan hasil risikan selama seminggu serta maklumat aduan awam di beberapa lokasi, termasuk Papar, Penampang, Manggatal, Inanam, Sepanggar dan Tuaran.
Daripada 153 individu yang diperiksa, seramai 66 orang warga asing dari Pakistan, Filipina dan Indonesia ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa atau melanggar syarat pas.
Mereka kini ditahan di Depot Imigresen Papar untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM Sabah menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melindungi atau menggaji PATI, sambil menyeru orang ramai terus menyalurkan maklumat mengenai kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing.
Sumber: Jabatan Imigresen Negeri Sabah