MEMBAKUT: 14 MAC 2026 – Seramai 614 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan pelajar tahfiz menerima bantuan berjumlah RM61,800 sempena Majlis Iftar Ramadan anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di sini hari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin.
Dalam majlis sama, lapan masjid dan 21 surau turut menerima sumbangan berjumlah RM36,000 untuk membantu kemudahan institusi keagamaan dan memberi keselesaan kepada komuniti setempat.
Program berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama Pejabat Parlimen Kimanis dan Dana Zakat Bank Rakyat.
Mohamad berkata penglibatan KUSKOP bukan hanya tertumpu kepada pembangunan perniagaan, tetapi turut menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh ekonomi rakyat.
“KUSKOP bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan usahawan dan koperasi, tetapi juga memainkan peranan dalam merapatkan jurang ekonomi masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, kementerian itu turut memperkenalkan Strategi A.B.C.D yang memfokuskan kepada Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudahkan, Capaian kepada Modal dan Daya Akses kepada Pasaran untuk membantu usahawan dan koperasi khususnya di kawasan luar bandar.
“Kita mahu memastikan usahawan dan koperasi luar bandar lebih berdaya saing dan mampu menjana pendapatan secara berterusan,” katanya lagi.
Beliau menambah usaha memperkukuh ekonomi komuniti turut dilaksanakan melalui kerjasama agensi di bawah KUSKOP seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Bank Rakyat, TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
