KOTA KINABALU: 24 Oktober 2026 — Seramai 5,879 usahawan di Sabah menerima manfaat dari Program Bantuan SME-UP yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) sejak 2017 hingga 2025.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, menjelaskan program itu dilaksanakan untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meningkatkan kapasiti pengeluaran, kualiti produk dan daya saing perniagaan.

“Pada tahun ini, kita juga buat pertama kalinya memperkenalkan bantuan untuk pensijilan halal dan pendaftaran cap dagangan di bawah Program SME-UP,” katanya ketika menjadi panel Sesi Townhall Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) di Lintasan Deasoka, hari ini.
Menurutnya, bantuan yang disediakan merangkumi perolehan mesin, peralatan, pembungkusan, pelabelan dan mesin retort untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran usahawan tempatan.
MINDET turut memperkukuh akses pasaran produk tempatan menerusi kerjasama dengan rangkaian peruncitan seperti Pasar Raya Bataras, Kedai Mesra PETRONAS dan AEON. Kerjasama itu telah memberi manfaat kepada 630 usahawan Sabah setakat tahun lepas.
Sementara itu, kerajaan negeri telah meluluskan dasar khas pajakan tanah perindustrian untuk membantu syarikat tempatan membangunkan kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
Untuk memperkasakan lagi sektor berkenaan, MINDET telah mengemukakan cadangan inisiatif baharu kepada Kementerian Kewangan Sabah untuk pertimbangan dalam Belanjawan Sabah 2027.
Beliau berharap cadangan tersebut mendapat pertimbangan sewajarnya supaya lebih ramai usahawan dapat dibantu bagi meningkatkan skala dan mengembangkan lagi perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Sumber: Datuk Ewon Benedict Media

