5,207 hektar tanah Malaysia tidak pernah tuntut – PM Anwar

IMG 0461

PARLIMEN: 04 Januari 2026-Dakwaan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan sempadan Sabah–Kalimantan tidak benar, sebaliknya kawasan tersebut bukan milik mana-mana negara kerana status sempadannya masih belum dimuktamadkan, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menjelaskan, kawasan berkenaan merupakan Outstanding Boundary Problem (OBP) yang sejak awal tidak boleh dianggap sebagai milik mana-mana negara kerana sempadannya masih belum dimuktamadkan oleh Malaysia dan Indonesia.

“Kawasan OBP sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai kawasan milik mana-mana negara kerana ia belum diputuskan oleh kedua-dua negara.

Kawasan itu merupakan kawasan rundingan dan penentuan sempadan yang masih belum dimuktamadkan sejak dahulu lagi.

Saya ingin menegaskan bahawa penentuan sempadan ini tidak bersandarkan kepada prinsip pampasan, timbal-balik atau untung-rugi seperti yang didakwa,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika Sesi Penerangan Khas Parlimen mengenai Isu Jajaran Sempadan Malaysia–Indonesia di Dewan Rakyat, Rabu.

Menurut beliau, penentuan sempadan Malaysia–Indonesia, termasuk melibatkan 3 kampung berkenaan, adalah berdasarkan dua konvensyen dan satu perjanjian persempadanan yang dimeterai sejak era penjajahan.

Malaysia dan Indonesia, katanya, terikat dengan Konvensyen Persempadanan British–Belanda 1891 yang melibatkan keseluruhan Sabah dan Sarawak, manakala Perjanjian Persempadanan 1915 khusus untuk Sabah.

Bagi sebahagian kecil sektor di Sarawak pula, Konvensyen Persempadanan British–Belanda 1928 yang ditandatangani di The Hague pada 26 Mac 1928 turut terpakai.

“Jadi sebab itu kita harus terikat dengan perjanjian dan yang dapat dipertikai, saya lihat adalah kawasan dari awal sejak 1919 ditekankan dalam semua rekod kita.

Ia tidak kita sahkan tetapi tidak pernah kita tuntut sebagai milik Malaysia,” jelasnya.

Anwar memaklumkan masih terdapat beberapa isu sensitif yang belum diselesaikan dalam rundingan sempadan darat antara Malaysia dan Indonesia.

Menurut beliau, isu berkenaan melibatkan lima kawasan sempadan darat, kawasan intertidal di sektor Sabah–Kalimantan Utara, serta empat kawasan OBP di sektor Sarawak–Kalimantan Barat yang masih dalam proses perundingan dan belum dimuktamadkan.

“Sebab itu kenyataan-kenyataan kita harus berhati-hati dan berhemah.

Kalau nak cari keuntungan politik sempit, bukan masanya untuk korbankan kepentingan Malaysia atau korbankan kepentingan hubungan baik antara dua negara,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan pembangkang bahawa Malaysia telah menyerahkan kawasan Ambalat kepada Indonesia adalah tidak benar kerana isu berkenaan masih belum dimuktamadkan.

“Sepertimana dakwaan bahawa kita telah menyerahkan Ambalat, perkara itu sebenarnya belum dimuktamadkan. Tetapi ada pihak mendakwa ia sudah diserahkan, saya tidak tahu wilayah mana yang dimaksudkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal