SEMPORNA: 21 Ogos 2025 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan besar-besaran di sekitar Semporna dan Kunak pada awal pagi 20 Ogos lalu.
Operasi bersepadu yang bermula sekitar tengah malam itu melibatkan seramai 40 pegawai dan anggota dari beberapa unit penguatkuasaan termasuk Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu, dan Semporna.

Serbuan dilaksanakan hasil aduan awam serta risikan selama seminggu ke atas lima penempatan yang dipercayai didiami warga asing.
Dalam pemeriksaan terhadap 73 individu, seramai 40 orang terdiri daripada lelaki, wanita, dan kanak-kanak ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. Mereka merupakan warga Pakistan, Filipina, dan Indonesia.
Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Semporna untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
JIM Sabah menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan bagi mengesan, menangkap serta memindahkan PATI yang melanggar undang-undang negara.
Setakat ini, pihaknya telah memeriksa lebih 19,000 individu di seluruh negeri dengan 3,902 tangkapan, manakala 6,521 PATI telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Jabatan itu turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI atau majikan yang menggaji pekerja asing secara tidak sah bagi membantu usaha mengekalkan kedaulatan dan keselamatan negara.
Sumber: Jabatan Imigresen Negeri Sabah