40 hadir taklimat KRT Kg Taruakan

Share the news

40 hadir taklimat KRT Kg Taruakan

Barisan AJK Induk KRT Kampung Taruakan, Pulau Sakar yang dilantik bergambar bersama Norfazilah Idin

LAHAD DATU: Orang ramai semakin sedar penting diwujudkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di setiap kampung yang berfungsi untuk memantapkan silaturahim dan perpaduan di kalangan jiran tetangga.

Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Lahad Datu, Norfazilah Idin berkata, penubuhan KRT di Kampung Taruakan, Pulau Sakar adalah petunjuk bahawa orang ramai semakin sedar kepentingan Rukun Tetangga (RT).

Beliau gembira kampung itu mewujudkan RT dan kini boleh menjalankan tugas bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kampung berkenaan.

“Tempoh sah laku penubuhan KRT adalah selama dua tahun dan selepas habis tempoh, AJK KRT wajar membuat permohonan baharu ke pejabat Perpaduan Daerah Lahad Datu,” katanya menambah kerajaan akan memberi peruntukan kepada KRT untuk melaksanakan aktiviti untuk tempoh setahun.

Norfazilah berkata demikian ketika menyampaikan taklimat ringkas berkaitan penubuhan KRT di pulau berkenaan di sini pada Sabtu. Permohonan penubuhan KRT Kampung Taruakan diterima Julai lalu.

Beliau menjelaskan bahawa dalam KRT, ia mempunyai dua komponen penting iaitu kumpulan komuniti dan lima teras KRT.

Kumpulan Komuniti membabitkan masyarakat KRT terdiri daripada Jiran Muda, Jiran Wanita, Tunas Jiran dan Jiran Warga Emas manakala lima teras KRT pula merangkumi Perpaduan, Keselamatan, Kualiti Hidup, Ekonomi dan Pendidikan.

Sesi taklimat dihadiri kira-kira 40 orang terdiri daripada penduduk pulau itu.

AJK Induk KRT yang ditubuhkan itu melantik tujuh orang iaitu Abdul Mutalib Abdul Ghani selaku Pengerusi Penaja, Jaafar Bin Naning ((Timbalan Pengerusi), Rosdiani Amir Hussin (Bendahari), Mariana Puyong (Setiausaha), Muhammad Ahmad (Timbalan Setiausaha), Abdul Majid Alam (Juruaudit 1) dan Abbad Bin Kassim (Juruaudit 2).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal