210 terima geran tanah, 12 diwarta rizab kampung
KIULU: Seramai 210 penduduk kampung menerima hak milik tanah seluas 327 di bawah Program Perkhidmatan Tanah Adat Anak Negeri Sabah atau Pantas di sini, pada Selasa.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Haji Haji Noor turut menyampaikan warta rizab kampung kepada 12 kampung berjumlah 205.6 ekar diluluskan oleh Kerajaan Negeri menerusi Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN).
Kampung itu ialah Kampung Nadau, Bayag, Tiku, Logub, Lingga Baru, Parad, Gonipis Lama, Lingga, Poturidong, Mongkonihab, Tiong Tomburung dan Sukang Baru.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri mengambil berat dengan kehendak rakyat dan komited untuk mengeluarkan hak milik tanah kepada seberapa ramai penduduk di Sabah kerana ini membabitkan mata pencarian mereka tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.
“Program Pantas dilaksanakan sejak 2011 dan diteruskan oleh kerajaan GRS-BN,” katanya di Dewan Masyarakat Kiulu.
Sebelum itu Hajiji merasmikan majlis pecah tanah Pejabat Daerah Kecil Kiulu kemudian menghadiri taklimat pembangunan oleh Penolong Pegawai Daerah, Justin Ginduk.
“Tahniah kepada orang Kiulu kerana pejabat daerah adalah sesuatu yang mereka nanti-nantikan,” katanya.
Ketika ini, pejabat Daerah Kecil Kiulu menggunakan kemudahan di Dewan Masyarakat sebagai urusetianya.
Ketua Menteri meluluskan RM5 juta untuk pembinaan bangunan baru urusetia daerah kecil Kiulu di atas tapak seluas 2.5 ekar bersebelahan dengan Dewan Masyarakat.
Katanya, masyarakat di sini tidak perlu lagi ke Pejabat Daerah Tuaran atau Pejabat Daerah Kecil Tamparuli untuk melakukan dokumentasi seperti mendapatkan tanda daripada Pesuruhjaya Sumpah atau menjalankan urusan rasmi kerajaan kerana ini boleh dilakukan di pejabat daerah kecil.
Begitu juga dari segi projek pembangunan, Pejabat Daerah Kecil Kiulu sudah boleh memproses dokumentasi seperti Bil Kuantiti (BQ) dan skop kerja lain.
Katanya Pejabat Daerah Kecil Kiulu boleh terus mengemukakan permohonan meminta peruntukan melaksanakan projek kepada badan berkaitan.
“Ini adalah aspirasi kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua rakyat termasuk di Kiulu,” katanya menambah, pembinaan pejabat daerah kecil itu bukti Kerajaan Negeri peka dengan keperluan rakyat.
Kiulu, katanya terkenal dengan produk eko-pelancongan dengan 70 pengusaha pelancongan swasta dan komuniti yang berdaftar dengan Persatuan Pelancongan Kiulu.
Kiulu juga pengeluar padi bukit, nanas, getah, koko, lada hitam dan ikan melalui sistem Tagal.
“Kekuatan Kiulu melengkapi Hala Tuju Sabah Maju Jaya Kerajaan Negeri dalam sektor pelancongan dan pertanian untuk memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Hajiji juga meluluskan permintaan penduduk kampung Kiulu untuk membina jambatan untuk Nulu-Mantob serta pembinaan dan naik taraf beberapa jalan raya.
Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Seri Safar Untong, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Datuk Rosmadi Sulai, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Norlijah Danin dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Datuk Seri Bernard Liew.
– Tv Sabah News
0 Comments