KOTA KINABALU – SBC Corporation Berhad mengumumkan pelancaran The Quayside, komponen penting dalam Pelan Induk Jesselton Quay, bertujuan memperkukuh daya tarikan pelancongan di kawasan waterfront Kota Kinabalu.
The Quayside, laluan pejalan kaki persendirian sepanjang 400 meter, bakal menjadi satu-satunya “laluan tepi laut terurus” yang menampilkan pengalaman menjamu selera alfresco dan pelbagai pilihan F&B. Ia dijangka siap pada 2028, bertepatan dengan penyerahan Q Suites, menara terakhir dalam projek ini.
Terletak di tapak seluas 10 ekar bekas Pelabuhan Kota Kinabalu, projek ini diinspirasikan oleh konsep “Gaya Street Baharu Bertemu Xintiandi,” menggabungkan ciri tempatan dengan suasana moden ala Shanghai.
Lokasi strategik berdekatan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dan terminal kapal persiaran antarabangsa dijangka menyumbang kepada peningkatan pengunjung. SBC yakin The Quayside akan menjadi tarikan utama dengan elemen jalanan, seni bina warisan dan pemandangan tepi laut.
Ia turut menyediakan platform mempamerkan budaya Sabah melalui Q Shoppes dan Q Square. Q Marche pula akan menampilkan produk serta perkhidmatan premium dalam suasana bazaar moden. Festival seni, muzik dan pasar hujung minggu akan dianjurkan secara berkala bagi memperkukuh statusnya sebagai destinasi wajib lawat.
Dengan fasa pertama projek telah siap, SBC optimis keseluruhan pelan induk akan selesai menjelang 2028, menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar rujukan dalam budaya, makanan dan rekreasi di rantau ini.