LAHAD DATU: 10 Ogos 2025 – Dalam aksi kejar mengejar sejauh 200 kilometer, satu cubaan tiga ahli sindiket rokok seludup melarikan diri digagalkan oleh Polis Marin Wilayah 4 Sabah dan berjaya merampas rokok seludup bernilai RM3 juta dalam operasi khas awal pagi 7 Ogos lalu.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Nazri Ibrahim berkata, operasi bermula sekitar jam 12 tengah malam hasil risikan berterusan Unit Gempur Marin (UNGERIN) dan Unit Risikan Marin (URM) terhadap sindiket kontraban yang dikesan beroperasi di kawasan Silam, Lahad Datu.
Menurutnya, serbuan dilakukan terhadap tiga van yang diletakkan di tepi jalan. Namun, salah seorang suspek yang memandu sebuah van bertindak memecut kenderaan untuk melarikan diri, sekali gus mencetuskan aksi kejar-mengejar merentasi tiga daerah.
Dalam kejadian itu, suspek didapati memandu memasuki daerah Kunak, kemudian disusuli bantuan Unit Peronda IPD Kunak yang mengarahkan mereka berhenti, tetapi arahan itu diingkari. Kenderaan itu kemudian menghala ke Tawau, dan empat MPV IPD Tawau digerakkan untuk membantu memintas.
Selepas hampir tiga jam dikejar, van terbabit terbabas dan merempuh sebatang pokok di Kampung Titingan Icebox, Tawau. Suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas selepas berlaku sedikit pergelutan. Pemeriksaan mendapati lelaki itu adalah pendatang asing tanpa dokumen, dan van yang dipandunya sarat dengan rokok seludup pelbagai jenama.
Hasil operasi tersebut, dua lagi suspek ditahan di Lahad Datu. Polis turut merampas tiga van dan sejumlah 2,301,200 batang rokok seludup dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3,099,100.
Sejak Januari hingga Ogos tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 57 kes penyeludupan rokok dengan nilai rampasan RM24.34 juta, selain menahan 43 individu disyaki terlibat.
Nazri menegaskan pihaknya akan terus komited membanteras jenayah penyeludupan dan mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Sumber: Pasukan Polis Marin Wilayah 4