KOTA BELUD: 4 Ogos 2025 – Impian para nelayan Kg. Bira-biraan, Kota Belud untuk memiliki penempatan yang lebih baik semakin menjadi kenyataan setelah Majlis Pecah Tanah Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Kg. Bira-biraan secara rasmi disempurnakan hari ini.
Projek ini melibatkan pembinaan 200 unit rumah di atas tanah dengan keluasan 650 kaki persegi bagi setiap unit. Selain kediaman, PSN ini juga akan dilengkapi dengan kemudahan jalan raya, sistem perparitan yang terancang, bekalan air bersih dan sistem bekalan elektrik yang stabil, memastikan kualiti hidup yang lebih baik bagi para nelayan dan keluarga mereka.
Majlis bersejarah ini diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor.

Projek PSN yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia pada tahun 2018 ini, bakal dibangunkan di atas tanah rezab Kerajaan seluas 50 ekar yang strategik, berhampiran Pantai Laut China Selatan, dan hanya 15 kilometer dari Pekan Kota Belud.
Tapak ini menjanjikan akses yang lebih mudah bagi nelayan ke laut di samping kemudahan infrastruktur yang lebih baik.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (KPPIM) merupakan pemilik projek ini, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah bertindak sebagai agensi pelaksana.
Projek dengan kos keseluruhan RM30,767,758 ini dijangka siap sepenuhnya pada 31 Julai 2027, bermula dengan tarikh permulaan milik tapak bina pada 1 Ogos 2025.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu; Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup; Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Hendrus Anding; Ahli Parlimen Kota Belud, Puan Isnaraissah Munirah Majilis; Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Leonard Stephen Poyong; Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Encik Hamdan bin Mamat; dan Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain.
Kehadiran wakil kerajaan persekutuan dan negeri yang begitu komited menggambarkan kepentingan projek ini bukan sahaja bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat nelayan Kg. Bira-biraan, tetapi juga sebagai usaha berterusan kerajaan dalam memajukan sektor perikanan dan menjamin keterjaminan makanan negara.
Projek PSN ini dijangka membawa impak positif yang besar kepada ekonomi tempatan dan sosioekonomi masyarakat nelayan di Kota Belud.