1,907 Mangsa Bencana di Sabah Terima Bantuan CSR Agensi KUSKOP – Ewon

PENAMPANG: 19 September 2025 – Seramai 1,907 mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bernilai hampir RM200,000 daripada tujuh agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata bantuan berupa bakul makanan, ubat-ubatan serta keperluan harian lain seperti lampin pakai buang itu diagihkan secara berfasa di Penampang, Kadamaian dan Papar.

Beliau menjelaskan sebahagian sumbangan sudah disampaikan kepada penerima, manakala selebihnya akan diagihkan secara berperingkat sehingga semua mangsa mendapat bantuan berkenaan.

Ewon menegaskan sumbangan ini mencerminkan keprihatinan agensi-agensi KUSKOP dalam meringankan beban rakyat yang terkesan akibat bencana.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi di bawah KUSKOP kerana melaksanakan program CSR di Sabah yang jelas menunjukkan komitmen tinggi terhadap kebajikan masyarakat.

Agensi terlibat termasuk TEKUN Nasional, Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), SME Bank dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS).

TEKUN Nasional menyalurkan RM50,000 untuk 500 keluarga di Penampang dan Papar serta usahawan-usahawan TEKUN yang terkesan.

SKM menyumbang 560 bakul makanan bernilai RM56,000 di Penampang dan Kadamaian, manakala Bank Rakyat menyediakan 400 bakul bernilai RM40,000 di Penampang.

SME Bank pula menyalurkan 200 bakul bernilai RM20,000, diikuti INSKEN dengan sumbangan RM10,000 kepada 127 keluarga di Penampang.

IKMa menyumbang 170 bakul bernilai RM17,000 di Penampang dan Kadamaian, manakala PERNAS menyediakan 100 bakul makanan bernilai RM10,000 kepada mangsa terjejas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal