1,400 Anggota APM Sertai Latihan Bersepadu Dan SUPAM 2025 Di Pulau Pinang

PULAU PINANG: 9 September 2025 – Majlis Perasmian Latihan Bersepadu Kemahiran Pertahanan Awam dan Sukan Pertahanan Awam (SUPAM) 2025 berlangsung penuh meriah dengan penyertaan lebih 1,400 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari seluruh negara di Stadium Perbandaran Pulau Pinang pada 8 September 2025.

Acara gilang-gemilang itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Chow Kon Yeow, disaksikan Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed; serta Timbalan Pesuruhjaya Bersekutu (PA), Dato’ Ismail Mohd. Zawawi. Kehadiran kepimpinan tertinggi negeri dan APM mencerminkan sokongan padu terhadap usaha memperkukuh kesiapsiagaan anggota pertahanan awam.

Perarakan 17 kontinjen dari seluruh Malaysia, termasuk Sabah, mempamerkan disiplin dan semangat berpasukan yang menjadi tunjang organisasi tersebut.

Gimik perasmian dan persembahan bunga api turut menjadi kemuncak majlis, menandakan bermulanya kejohanan SUPAM yang menghimpunkan bakat, kekuatan fizikal dan ketahanan mental anggota APM.

Dalam ucapannya, Chow menegaskan penganjuran dwitahunan ini bukan sahaja medan untuk menguji kecekapan serta ketangkasan anggota APM menghadapi cabaran semasa, malah turut memperkukuh kerjasama di semua peringkat.

Beliau menambah pendekatan ini seiring dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) yang menitikberatkan pembangunan sosioekonomi rakyat dan pengukuhan peranan agensi tempatan dalam membina modal insan berkualiti.

Latihan bersepadu dan SUPAM yang dianjurkan ini sekali gus menjadi platform strategik untuk memperkukuh daya tahan APM sebagai benteng sokongan rakyat ketika berdepan bencana dan kecemasan.

Sumber: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia – APM Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal