11 kompaun dikeluarkan dalam operasi anti sampah di Jalan Gaya

IMG 0806

KOTA KINABALU : 9 Februari 2026 — Sebanyak 11 kompaun dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu ‘Compound On The Spot’ Anti Litter yang dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sekitar Jalan Gaya pada 5 Februari lalu.

10 kompaun dibayar serta-merta dengan jumlah nilai RM1,300.

Operasi berkenaan dilaksanakan oleh Jabatan Penguatkuasaan DBKK bagi meningkatkan pematuhan orang awam terhadap kebersihan persekitaran, sempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dalam operasi itu, tujuh kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap) 1984, Pindaan 2005, manakala empat kompaun lagi dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Premis Makan dan Makanan 1966, Pindaan 2003.

Operasi tersebut melibatkan 27 anggota dari beberapa jabatan dalaman DBKK, termasuk Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya dan Jabatan Pelesenan.

DBKK memaklumkan tindakan susulan akan diambil melalui Perintah Kehadiran Wajib (PKW) terhadap pihak yang gagal mematuhi kebersihan di bahagian dalam, luar dan belakang premis perniagaan, dan kutu sampah.

Menurut DBKK, operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang kecil dan tahap kebersihan di Bandaraya Kota Kinabalu sentiasa terpelihara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal